KESAN-KESAN PENGISYTIHARAN DARURAT DI TANAH MELAYU
Pengenalan
1.
Selepas
Perang Dunia ke-2 tamat, Parti Komunis Malaya (PKM) telah mengambil kesempatan
untuk menguasai politik Tanah Melayu melalui cara perlembagaan tetapi telah
gagal.
2.
Lantaran itu PKM
telah mengubah corak perjuangan mereka secara militan. Pada tahun 1948, PKM
mengambil keputusan untuk melancarkan revolusi bersenjata untuk menggulingkan
pemerintahan British dan menubuhkan Republik Komunis Tanah Melayu.
3.
Keganasan yang
dilakukan oleh PKM telah memaksa pihak British mengisytiharkan darurat di
seluruh Tanah Melayu pada 15 Julai 1948 yang bertujuan menghapuskan
pemberontakan komunis di Tanah Melayu. Zaman darurat ini telah meninggalkan
pelbagai kesan kepada seluruh penduduk Tanah Melayu dari aspek politik, ekonomi
dan sosial.
1. Kesan Politik
(a)
Kerajaan
British telah membuat keputusan untuk mempercepatkan pemberian kemerdekaan
kepada Tanah Melayu kerana kerajaan mendapati rakyat Tanah Melayu semakin
menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran British. Selain itu, kerajaan juga ingin mendapat sokongan rakyat
supaya tidak memihak kepada komunis. Perikatan UMNO-MCA di bawah pimpinan Tunku
Abd. Rahman memainkan peranan yang penting dalam proses mencapai kemerdekaan.
Hasil rundingan di London, Tanah Melayu diberi kemerdekaan pada tahun 1957.
(b)
Pengisytiharan
darurat menyebabkan aktiviti politik di Tanah Melayu tergendala terutamanya
dari parti politik berhaluan kiri. Parti-parti politik berhaluan kiri yang
dilihat bersimpati dengan PKM telah diharamkan oleh kerajaan seperti Parti
Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Angkatan Pemuda
Insaf (API) dan MDU. Manakala pemimipin-pemimpinnya pula ditangkap dan
dipenjarakan seperti Ahmad Boestaman dan Ishak Hj. Muhammad. Terdapat juga
parti-parti politik yang bersifat sederhana terpaksa dibubarkan akibat tekanan
daripada kerajaan British. Contohnya, sebilangan besar pemimpin Hizbul Muslimin
yang berpusat di Gunung Semanggol ditangkap oleh kerajaan British dengan
menggunakan peruntukkan di bawah Undang-undang Darurat, 1948. Namum, kerajaan
British masih lagi membenarkan parti politik berhaluan sederhana seperti UMNO,
MCA dan MIC meneruskan kegiatan mereka.
(c)
Pada tahun 1949,
pemimpin-pemimpin orang Cina dalam Majlis Perundangan Persekutuan terutamanya
Datuk Tan Cheng Lock telah memainkan peranan penting dalam penubuhkan Malayan
Chinese Association (MCA) pada tahun 1949. Tujuan penubuhan MCA adalah untuk
membuktikan bahawa bukan semua orang Cina menyokong PKM. Penubuhan MCA ini
telah dapat mengubah sikap orang Cina terhadap ideologi komunisme dan mereka telah
menyokong kerajaan serta banyak membantu kerajaan dari segi memberi pertolongan
kepada setinggan-setinggan yang dipindahkan ke kampung-kampung baru.
(d)
Kerajaan British
juga telah mengambil beberapa langkah iaitu mengadakan Pilihan Raya Perbandaran
George Town di Pulau Pinang (1951), Pilihan Raya Perbandaran Kuala Lumpur (1952)
dan pilihan raya Persekutuan (1955). Dalam pilihan raya Persekutuan, perikatan
UMNO-MCA-MIC membentuk kerajaan apabila memenangi 51 daripada 52 kerusi yang
dipertandingkan. Kemenangan tersebut mengambarkan rakyat Tanah Melayu telah
bersedia untuk merdeka. Kerajaan British telah memulakan rundingan kemerdekaan
dan akhirnya Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.
(e)
Sistem
Ahli juga telah diperkenalkan pada tahun 1951-1952 oleh British sebagai langkah
kearah berkerajaan sendiri. Ahli-ahli dipilih daripada pelbagai kaum bertujuan
untuk mewujudkan kerjasama daripada pelbagai kaum. Melalui Sistem Ahli mereka diberi tanggungjawab dalam jabatan
pentadbiran sebagai persediaan untuk berkerajaan sendiri.
(f)
Darurat juga telah
menyebabkan Persekutuan Tanah Melayu terpaksa menandatangani satu perjanjian
pertahanan dengan kerajaan Inggeris selepas merdeka. Perjanjian pertahanan ini
perlu kerana Persekutuan Tanah Melayu
tidak mempunyai kekuatan tentera yang cukup untuk menentang komunis. Perjanjian
pertahanan ini telah menyebabkan wujudnya kecaman dan kritikan bahawa
Persekutuan Tanah Melayu tidak merdeka sepenuhnya kerana masih bergantung
kepada kerajaan Inggeris walaupun telah merdeka.
2. Kesan Ekonomi
(a)
Kerajaan
juga terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk untuk membendung komunis. Kerajaan membelanjakan sebanyak $250 000 hingga $300 000
setiap hari bagi tujuan keselamatan untuk menghapuskan komunis. Sepanjang
tempoh pengisytiharan darurat kerajaan membelanjakan sebanyak $136.2 juta untuk
pertahanan dan sebanyak $721.9 juta untuk memperlengkapkan pasukan keselamatan.
Jumlah ini belum diambil kira peruntukkan kerajaan untuk membangunkan kampung-kampung
baru di bawah Rancangan Briggs. Perbelanjaan yang besar ini telah menimbulkan
beban kewangan kepada kerajaan iaitu sehingga tahun 1953, Tanah Melayu
mengalami defisit belanjawan sebanyak $1.46 juta. Kedudukan kewangan yang
terbatas ini telah menyukarkan kerajaan untuk membangunkan semula ekonomi Tanah
Melayu.
(b)
Pengganas
komunis telah bertindak merosakkan landasan kereta api, jalan raya, lombong
bijih timah, menyerang kenderaan awam dan menetak beribu-ribu batang pokok
getah. Sabotaj yang dilakukan oleh komunis ini bertujuan untuk
melumpuhkan ekonomi Tanah Melayu. Akibat tindakan komunis ini, kerajaan telah
mengisytiharkan darurat dengan mengadakan sekatan jalan raya dan perintah
berkurung yang sering kali menganggu kelicinan urusan perdagangan Tanah Melayu.
Keadaan politik Tanah Melayu yang bergolak ini menyebabkan pelabur-pelabur
tidak berani melabur modal di Tanah Melayu.
(c)
Usaha-usaha
membanteras darurat yang dijalankan oleh kerajaan British telah meninggalkan
kesan yang teruk terhadap ekonomi Tanah Melayu. Rakyat hidup tertekan kerana
tidak dapat menjalankan kegiatan ekonomi yang disebabkan undang-undang darurat.
Rakyat menderita dan sengsara akibat keganasan komunis sepanjang darurat.
Ladang, lombong dan balai polis menjadi sasaran serangan komunis, disamping
terdapatnya serangan ke atas pegawai keselamatan dan orang awam. Kerajaan pula
terpaksa menumpukan usaha membanteras pengganas komunis, keadaan ini
menyebabkan pengeluaran hasil bumi dan eksport Tanah Melayu terjejas.
(d)
Di bawah Rancangan
Briggs, kerajaan telah memindahkan penduduk-penduduk Cina yang tinggal di
kawasan luar bandar dan pinggir hutan ke kampung-kampung baru. Kampung baru ini dilengkapi
dengan semua kemudahan, dipagari dan dikawal rapi. Dianggarkan seramai satu hingga dua juta
orang dipindahkan di bawah Rancangan Briggs. Kerajaan juga telah membelanjakan sebanyak $7 juta pada tahun 1950 dan
meningkat kepada $155 juta pada tahun 1954. Peruntukan ini telah menjadi beban
kepada kerajaan kerana ekonomi Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua berada
di dalam keadaan muflis.
(e)
Kerajaan telah
menubuhkan Rural Industri Development Authority (RIDA) pada tahun 1950 yang
bertujuan memajukan ekonomi dan pendidikan masyarakat luar bandar khususnya
orang Melayu dan sebagai memenuhi tuntutan mengimbangi penubuhan kampung baru
untuk orang Cina.
3. Kesan Sosial
(a) Kempen memerangi komunis dijalankan
selama 12 tahun (1948-1960) yang menyaksikan rakyat hidup menderita keganasan
komunis. Pelaksanaan undang-undang darurat seperti perintah berkurung amat
menyusahkan hidup rakyat kerana tidak dapat menjalankan pekerjaan dan aktiviti
harian mereka. Bekalan beras berkurangan kerana semakin banyak sawah ditinggalkan oleh petani tanpa diusahakan.
Begitu juga dengan padi huma dan kerja-kerja ladang yang lain seperti jagung,
ubi dan pisang turut tidak dikerjakan bagi menambah bahan makanan. Kekurangan
makanan ini telah menyebabkan kerajaan bertindak mencatukan makanan dan catuan yang dikenakan ini
menyebabkan rakyat terpaksa bergantung kepada ubi kayu dan keledek sama seperti
dialami semasa zaman Jepun. Walaupun catuan makanan ini berjaya menyekat bekalan
makanan daripada sampai kepada komunis, namum rakyat hidup menderita akibat
kekurangan makanan.
(b) Melalui undang-undang darurat, kerajaan boleh menahan sesiapa sahaja yang
dianggap mengancam keselamatan negara atau disyaki bersubahat dengan komunis tanpa
perlu dibicara di mahkamah. Orang ramai tidak dibenarkan berkumpul melebihi 5
orang di tempat terbuka tanpa mendapat kebenaran polis. Sesiapa yang membawa
atau menyimpan senjata api tanpa permit boleh dihukum bunuh. Ramai penduduk
terutama orang Cina ditangkap dan dipenjarakan, sebahagian daripada mereka
dihantar pulang ke negara China.
(c) Masalah perkauman antara orang
Melayu dan orang Cina menjadi semakin serius. Orang Melayu menganggap semua
orang Cina adalah komunis dan orang Melayu telah menyertai pasukan keselamatan
untuk membanteras komunis. Oleh itu, tindakan memerangi komunis semasa darurat
seolah-olah dilihat sebagai peperangan antara orang Melayu dengan orang Cina. Masalah
perkauman yang tercetus ini telah memberi kesan penting ke atas kedudukan sosiopolitik
di Tanah Melayu.
(d) Ketegangan hubungan antara kaum
Melayu dan Cina telah mendorong pemimpin-pemimpin seperti Dato’ Onn Jaafar,
Dato’ E.E.C. Thuraisingham dan Datuk Tan Cheng Lock berusaha untuk meredakan
ketegangan kaum dengan menubuhkan Jawatankuasa Perhubungan Antara Kaum (JPAK)
pada tahun 1949. Jawatankuasa ini diketuai oleh Dato’ E.E.C. Thuraisingham yang
bertujuan untuk menjalin hubungan yang lebih baik antara penduduk yang
berbilang kaum di Tanah Melayu.
(e) Untuk mendapatkan sokongan orang bukan Melayu terutamanya orang Cina bagi
membanteras komunis, kerajaan telah melancarkan kempen “Memenangi Hati dan Fikiran Rakyat” dan melonggarkan
syarat-syarat untuk mendapat kerakyatan Tanah Melayu pada tahun 1952. MCA
dijadikan juru bicara kaum Cina dengan kerajaan. Langkah ini membolehkan
seramai 1.2 juta orang Cina dan 180 000 orang India menjadi warganegara Tanah
Melayu sehingga tahun 1957. Mereka juga diberi hak untuk memiliki tanah dan menikmati kemudahan
pelajaran dan kesihatan di kawasan kampong-kampung baru. Dengan cara ini,
kerajaan dapat memenangi hati dan fikiran orang Cina agar menyokong kerajaan.
(f) Dasar Pelajaran Kebangsaan Tanah
Melayu digubal untuk mewujudkan perpaduan dan persefahaman antara kaum Melayu,
Cina dan India. Dasar Pelajaran Kebangsaan yang digubal berasaskan Penyata
Pelajaran Razak 1956, menetapkan kandungan sukatan pelajaran semua jenis
sekolah mestilah berteraskan hal ehwal Tanah Melayu, Bahasa Melayu dijadikan
bahasa penghantar utama di semua sekolah untuk mewujudkan persefahaman dan perpaduan
di kalangan rakyat berbilang kaum di Tanah Melayu. Kerajaan merasakan perlunya
kanak-kanak di Tanah Melayu dididik dengan ilmu pengetahuan yang boleh memupuk
semangat cinta dan taat setia kepada tanah air.
(g) Penubuhan Rancangan Briggs menyebabkan
wujudnya ketidakseimbangan kependudukan kaum iaitu 86% penduduknya terdiri
daripada orang Cina, 9% orang Melayu dan 4% orang India. Perubahan ini telah
menyebabkan orang Cina tertumpu di kawasan bandar manakala orang Melayu kekal
di kampung tanpa kemudahan moden seperti di kampung baru.
Kesimpulan
1. Darurat telah menimbulkan pelbagai kesan dan masalah kepada rakyat di
Tanah Melayu. Namum usaha berterusan yang
dilakukan oleh kerajaan dan usaha Tunku Abd. Rahman
menuntut kemerdekaan telah menyebabkan komunis terpaksa mengaku kalah.
2. Setelah darurat tamat pada
tahun 1960, kerajaan telah menumpukan usaha untuk memajukan Tanah Melayu
khususnya ekonomi dan sosial.
By : Nur safiqah binti Osman
No comments:
Post a Comment